Salam Perkenalan daripada Pihak Penulis

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Sumber : Google Image

Alhamdulillah, diberikan kesempatan ruang masa untuk memulakan blog ini.

Mari saya ceritakan diri saya serba sedikit. Nama saya Siti Aminah binti A. Wahab, nama yang dipilih oleh ibu bapa saya bersempena nama ibu junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W. Saya dilahirkan di Johor Bahru dan dibesarkan di Cheras, Selangor. Saya merupakan anak yang sulung daripada 4 orang adik-beradik. Saya mendapat pendidikan awal sekolah rendah dan menengah rendah di sekitar kawasan Cheras, Selangor. Alhamdulillah, rezeki keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), saya ditawarkan sekolah berasrama penuh di daerah Muar, Johor. Kemudian, saya menyambung pengajian di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

Saya memulakan kerjaya bermula tahun 2004 di Shah Alam sebaik saja saya menamatkan pengajian. Namun, rezeki kurang menyebelahi saya, syarikat tempat saya bekerja 'gulung tikar' menyebabkan saya menganggur selama 6 bulan. Alhamdulillah, saya mula bekerja semula di sebuah syarikat kecil di Subang Jaya pada awal tahun 2005. Saya bertemu jodoh di syarikat tersebut dan berumahtangga pada pertengahan 2010.

Perancangan Allah itu indah dan tepat buat hambaNya, saya ditawarkan untuk bekerja di syarikat yang agak besar dan kukuh beberapa bulan selepas saya berumahtangga. Alhamdulillah, saya juga dikurniakan rezeki anak pada awal tahun 2012 dan diberi nama Amir Syukur (Ketua yang Bersyukur) dengan harapan dapat menjadi pembimbing buat dirinya, keluarga serta orang sekeliling kearah yang diredhaiNya, Insya Allah.

Minat mengumpul kata-kata hikmah serta membaca perkara berkaitan pembangunan diri dan motivasi diri telah bermula pada zaman persekolahan lagi. Saya juga pernah mencatat didalam buku catatan kata-kata hikmah yang saya temui samada melalui akhbar, majalah mahupun drama atau filem yang saya tonton. Zaman berubah dan teknologi semakin canggih, saya beralih daripada mencatat dalam buku catatan kepada menyimpan dalam bentuk softcopy kata-kata hikmah yang saya temui samada dalam Facebook, Twitter, Pinterest dan sebagainya.

Harapan saya semoga apa yang akan saya paparkan sedikit sebanyak dapat memberikan input positif, menaikkan kembali semangat yang semakin luntur atau setidaknya dapat meredakan sedikit keresahan hati para pembaca. Saya juga boleh ditemui di Mama, Papa & Amir.

Sesungguhnya yang baik itu datang daripada Allah dan yang kurang itu datang daripada kekhilafan saya sendiri.

Wallahua'lam.

Popular posts from this blog

Jangan persoalkan

Ujian dan Cabaran Hidup

Aku tidak memiliki apa-apa